KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) merancang untuk menanam pokok bersesuaian dan berkualiti untuk mengelak kejadian pokok tumbang daripada berulang.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia melibatkan proses penanaman semula pokok yang telah matang atau telah sampai usia tua.
"Kita gantikan dengan tanaman pokok-pokok yang lebih kuat dan kalau boleh pokok itu mempunyai akar tunjang yang ada pada hari ini mempunyai akar yang kita sebut sebagai akar serabut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santuni Alam Sekitar bertemakan 'Sayangi Sungai Kita' di Esplanade Kampung Gersik semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) diminta mengulas mengenai kejadian pokok tumbang di Jalan Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Yakub baru-baru ini.
Dalam kejadian itu, sebanyak lima batang pokok tumbang susulan angin kencang sekitar jam 4 petang.
Menurut Dr Abdul Rahman, DBKU sudah menetapkan spesis dan ciri-ciri pokok yang akan ditanam kelak.
"Untuk melihat spesis yang lebih sesuai untuk ditanam bagi menggantikan pokok-pokok yang sedia ada, yang kita dapati telah pun matang usianya dan dikategorikan sebagai pokok-pokok yang tua.
"Kategori nak dipilih semula ialah pokok yang kurang mengeluarkan daun-daun, daun-daunnya jatuh secara bermusim," ujarnya.


0 Comments